"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Kerajaan Perlulah Segerakan Kebenaran Melombong Bauksit Beroperasi Semula!


Aktiviti perlombongan bauksit yang sudah terhenti sejak sekian lama wajarlah diteruskan semula dengan kadar segera. Kerajaan pusat dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) harus mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat dengan aktiviti ini demi memacu pembangunan ekonomi negara dan negeri Pahang khasnya.

Tindakan melewatkan kerja-kerja berkaitan akan merugikan banyak pihak sebenarnya. NGO Angkara adalah antara yang terawal yang menentang aktiviti perlombongan terbabit. Namun kini, kita melihat dari sudut ekonomi maka ia perlu diteruskan dengan kadar segera. 

Kita menentang aktiviti perlombongan bauksit sebelum ini kerana ia tidak dipantau dengan baik hingga mencemarkan alam sekitar. Malah ketika itu tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan untuk mengawal aktiviti tersebut, hingga ia mengancam kesihatan dan keselamatan orang awam.

Namun kini. SOP sudah dirangka dan orang awam sudah diberi pencerahan menerusi taklimat khas yang diadakan di Kuantan pada 14 April lalu.




Ia membolehkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian mendengar penjelasan semua pihak berkepentingan termasuk daripada kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan terlibat, pemain industri, NGO, pakar pengurusan alam sekitar, kesihatan awam serta orang awam mengenai draf SOP tersebut. Jawatankuasa Eksekutif boleh mengambil maklum semua pandangan yang dikemukakan  untuk diperhalusi sebelum dimuktamadkan.

Malahan kebanyakan mereka yang hadir pada takjlimat itu adalah terdiri dalam kalangan peneroka Felda Bukit Goh yang mahukan kerajaan membenarkan semula aktiviti tersebut diteruskan dalam tempoh terdekat. Ini kerana mereka sudah lama hilang punca pendapatan selepas kerajaan mengenakan tempoh moratorium ke atas kegiatan perlombongan bahan mineral itu tiga tahun lepas.




Terdahulu awal tahun ini Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar juga ada mengumumkan tempoh moratorium tamat 31 Mac 2019. Ini bermakna semua kerja-kerja pengeluaran, pengangkutan dan pengeksportan bahan tersebut boleh bermula semula pada 1 April. Namun hingga ke saat ini semua pihak masih tertunggu-tunggu kenyataan rasmi kerajaan terhadap aktiviti perlombongan ini. 

Namun, hingga kini kerja berkaitan masih tergendala kerana proses kelulusan SOP dan kebenaran yang masih dikaji oleh pihak kerajaan. Ia meresahkan sebahagian besar peneroka Felda yang terlibat terutamanya menjelang ketibaan hari raya tidak lama lagi.



Bauksit adalah satu industri dan ia perlu mengambil kira kepentingan umum, bukan sesetengah pihak sahaja yang kononnya menjadi mangsa. Zaman itu sudah berlalu, kini tiba masa SOP dijadikan panduan untuk pemantauan. Mereka yang gagal mengikut SOP maka kebenaran melombong boleh ditarik balik. Tidak wajar menyalahkan semua pihak atas segala apa yang berlaku sebelum ini. 

Kerajaan  perlu mengambil kira masalah  yang dihadapi oleh semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri ini. Tindakan melewatkan kerja-kerja berkaitan akan menimbulkan lebih banyak masalah terutamanya kepada para peneroka Felda Bukit Goh yang terlibat dengan aktiviti ini sebenarnya.

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat 
[ A N G K A R A ]