"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

"Calon Bebas" Di PRK DUN Chini, Blogger CMK Buat Kejutan Akan Kembali Sertai Parti Politik

 

KUANTAN - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada Julai 2020, Mohd Shukri Mohd Ramli akan membuat kemunculan semula bersama sebuah parti politik dalam masa terdekat ini. 

Beliau yang berehat daripada politik dan menjadi aktivis masyarakat sejak 11 Februari 2011 itu berkata, kemunculan semula beliau bagi memeriahkan kembali iklim politik dan demokrasi. 

"Selama 10 tahun saya berjuang sebagai aktivis, kini tiba masa saya menyertai semula politik untuk meneruskan perjuangan rakyat marhaen," katanya.

Menurut Shukri yang juga dikenali sebagai Blogger Cucumatkilau (CMK) itu, hasrat untuk kembali timbul selepas melihat amalan demokrasi di negara ini perlu disuburkan. 

"Saya dah lama berehat, banyak isu yang saya angkat termasuk isu penyelewengan rumah  murah dan tanah, isu kemusnahan alam sekitar,isu pencerobohan hutan, isu pencemaran Tasik Chini, isu pencerobohan haram durian Musang King di Raub, isu penindasan pekerja MCKIP, isu susur keluar LPT Pekan Tajau- Jengka  dan banyak lagi.

"Maka saya rasa sudah tiba masanya isu-isu ini diangkat oleh rakan-rakan politik ke dewan yang mulia sama ada DUN atau Parlimen. Maka itulah saya rasa perlu kembali kepada platform politik agar isu yang dibangkitkan itu lebih bergema selepas ini," tambah beliau.

Difahamkan beberapa buah parti politik membuka ruang untuk beliau setakat ini.

"Setakat ini ada tujuh buah parti termasuk dari kerajaan dan pembangkang yang menawarkan peluang untuk saya kembali aktif. Namun, saya hanya akan memilih salah satu daripadanya sebagai wadah perjuangan baharu saya untuk masa  hadapan.

Ketika ditanya apakah keputusan  itu bermakna beliau akan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 menggunakan lambang parti, Shukri mendakwa buat masa ini beliau belum terfikir ke arah itu. Namun katanya, terpulang kepada parti terbabit.

"Jika saya dicalonkan, saya terima. Jika tidak dicalonkan saya akan teruskan perjuangan seperti biasa. Bukan soal mahu menjadi calon atau tidak. Apa yang penting saya tidak akan menjadi calon bebas lagi bermula PRU-15 ini. 

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pimpinan parti yang memberi ruang kepada saya untuk berbincang dan menyatakan hala tuju parti masing-masing. Soal parti mana yang saya pilih itu adalah hak saya. Tidak perlu ada pihak yang kecewa atau sebaliknya," tambahnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang akan menyerang dan mengutuk keputusan beliau itu, namun baginya dia sudah lali dengan komen, kritikan, cacian, fitnah dan penghinaan yang dilontarkan terhadapnya.

"Saya jadi aktivis pun orang marah, saya bertanding bebas pun orang pertikai... maka tidak perlulah saya nak marah orang yang menyerang saya kerana kembali aktif berpolitik. Apa yang penting mereka tahu pinsip asas perjuangan saya ialah bukan membina kekayaan peribadi tetapi membela rakyat marhaen dengan lebih telus, adil dan berani," dakwa beliau.

Keputusan Shukri ini pastinya ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana kelantangan dan keberanian beliau menegur dan membangkitkan isu amat disokong oleh rakyat terutamanya dalam isu penyelewengan tanah yang melibatkan orang-orang dalam jabatan. 

Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi beliau dalam masa terdekat ini. 

https://pahangdaily.blogspot.com/2021/10/calon-bebas-prk-dun-chini-blogger-cmk.html