"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Surat Terbuka Buat Kerajaan Malaysia, Isu MCKIP Gebeng Tindas Pekerja Tempatan !

Surat terbuka ini ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia agar pihak kerajaan segera masuk campur isu penindasan yang dihadapi oleh pekerja tempatan di kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terletak di Gebeng, Kuantan sekarang ini. Tiba masanya kerajaan Malaysia mengambil tindakan dan memperbetulkan keadaan, jika tidak sampai bila-bila isu ini tidak akan selesai sebenarnya. 
Bantulah rakyat marhaen yang amat memerlukan pembelaan daripada pihak kerajaan.

YANG AMAT BERHORMAT.

TAN SRI DATO. HJ MAHIADDIN HJ MD YASSIN

Perdana Menteri Malaysia,

Pejabat Perdana Menteri,

Aras 5 Blok Utama Bangunan Perdana Putra,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62502 PUTRAJAYA


Adalah dengan segala hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

Umum mengetahui Pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terletak di Gebeng Kuantan, mampu mengangkat jenama barangan buatan Malaysia ke persada antarabangsa.

Difahamkan sekitar 85 hingga 90 peratus barangan yang dihasilkan di kawasan industri itu adalah berorientasikan eksport. Terdapat 11 kilang di MCKIP dengan kilang terbesar ialah kilang besi dan keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Secara tidak langsung ini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan membolehkan pemindahan teknologi ke sini, selain mewujudkan satu rantaian bekalan industri yang sekali gus memacu perkembangan ekonomi di Pantai Timur,

MCKIP adalah lambang persahabatan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan model kerjasama itu berpaksikan kepada formula menang-menang kepada kedua-dua negara. Alliance Steel juga adalah pelabur terbesar di MCKIP dan setakat ini, telah membawa masuk dana pelaburan berjumlah RM12 bilion dan lebih 3,000 daripada 5,000 pekerjanya adalah rakyat tempatan.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga akan menjadi nilai tambah kepada MCKIP, selain turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek menaiktaraf dan mendalamkan Pelabuhan Kuantan. Malah kedudukan Pelabuhan Kuantan yang strategik juga membolehkan bahan mentah dari China dibawa masuk ke negara ini dalam tempoh empat hari sahaja, yang menjadi daya penarik kepada pelabur.

Yang Amat Berhormat Tan Sri,

Pada awal kewujudan MCKIP di Gebeng ini dulu sememangnya sudah ramai pihak yang menentang dan membuat bantahan. Rakyat Malaysia bimbang projek ini akan mewujudkan wilayah baharu di sebalik tembok besar China.

Tembok setinggi lapan kaki itu dilihat melindungi 1,200 ekar tanah fasa satu MCKIP. Tembok tersebut dibina mengelilingi seluruh tapak projek, dengan anggaran perimeter paling kurang sembilan kilometer. Bagi penduduk tempatan, tembok itu digelar sebagai "Tembok Besar China" Kuantan.

Dilancarkan secara rasmi pada 5 Februari 2013, sebanyak 49 peratus pegangan MCKIP dimiliki Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China milik kerajaan Wilayah Autonomi Guanxi, manakala 51 peratus lagi oleh konsortium Malaysia - Kuantan, Pahang Holding Sdn Bhd.

Konsortium itu adalah usaha sama kerajaan dan swasta, melibatkan IJM Land Berhad (40 peratus), Sime Darby Property Berhad (30 peratus), dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).

Perasmian besar-besaran itu turut dihadiri Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), Jia Qinglin.

MCKIP adalah projek pertama yang dianugerahkan status "Taman Perindustrian Nasional" dan dikatakan bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan, selain membuka ribuan peluang pekerjaan.

Namun setelah empat tahun berlalu, penduduk Kuantan mula merungut apabila janji tersebut masih belum tertunai.

Difahamkan seluas 710 ekar tapak fasa pertama telah dijual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara dua entiti China iaitu Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi Shenglong Metallurgical Co Ltd. MCKIP pernah digelar sebagai "kota tertutup", lerama ia sama sekali berbeza dengan taman perindustrian lain di Kuantan, seperti Kawasan Perindustrian Gebeng dan Kawasan Perindustrian Semambu.

Bagi kedua-dua kawasan perindustrian itu, orang ramai bebas keluar masuk dan pagar hanya dipasang untuk bangunan pejabat dan kilang milik syarikat. Namun MCKIP amat berbeza saman sekali dan inilah yang menjadi persoalan dikalangan rakyat marhaen sejak awal-awal kilang ini dibina suatu ketika dahulu.

Yang Amat Berhormat Tan Sri,

Kami menyokong kewujudan MCKIP dapat menjadi pemangkin ekonomi negara dengan cukai dan peluang pekerjaan yang disediakan. Namun mutakhir ini, sudah mula timbul berbagai isu yang tidak sepatutnya berlaku di kilang terbabit.

MCKIP dilihat terlalu menindas pekerja tempatan terutamanya anak Melayu. Berbagai peraturan mengarut yang sengaja dibuat untuk menekan dan mendera mental dan fizikal pekerja tempatan. Banyak aduan dan maklumat yang telah diterima, sehingga ke hari ini ia masih gagal diselesaikan dan diambil berat oleh pihak kerajaan. Antara isu yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh pihak kerajaan ialah :-


1.   PEKERJA TEMPATAN DIARAHKAN BERCUTI  TANPA GAJI

Di ketika musim Covid-19 yang masih melanda sekarang ini dan saat ekonomi rakyat semakin  tenat akibat banyak sektor ekonomi yang tidak dapat beroperasi. Tiba-tiba semua pekerja tempatan yang menjalani kuarantin selama 14 hari baru-baru ini diarahkan bercuti tanpa gaji.

Tambah menyedihkan, tempoh cuti tersebut tidak bertarikh dan hanya akan dipanggil apabila situasi memerlukan. Bayangkan 1,300 orang pekerja tempatan terpaksa sekali lagi berhadapan dengan kes yang sama berlaku pada tahun lepas, apabila ribuan pekerja diberhentikan tanpa sebarang notis. Malahan pampasan yang diberikan tidak setimpal dan hingga kini bakinya tidak dijelaskan.

Malah, difahamkan ramai pekerja yang bercuti tanpa gaji sejak beberapa bulan yang lalu masih belum dipanggil bekerja sehingga  ke hari ini. Kini, ribuan lagi yang diarahkan bercuti, ini akan melumpuhkan terus sumber ekonomi mereka sebenarnya.

Dalam masa yang sama beberapa hari yang lalu barangan peribadi mereka diselongkar, dimasukkan ke dalam plastik hitam dan diletakkan di stor. Ia atas alasan untuk tujuan sanitasi. Namun anehnya dalam masa yang sama dilaporkan bas-bas membawa pekerja asing dilihat masuk ke kawasan asrama kilang membawa pekerja baru yang sebahagian besarnya dari China, Bangladesh, Indonesia (Aceh) dan Myanmar (Rohingya).

Ini menunjukkan kilang MCKIP sengaja menghentikan perkhidmatan pekerja tempatan untuk digantikan dengan pekerja warga asing. Mereka mudah membawa masuk pekerja asing menggunakan bas pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.


2.  SYARAT TINGGAL DI HOSTEL PERLU DILONGGARKAN

Mula dikuatkuasa pada musim pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun lepas dan sekarang ini. Tujuannya untuk memastikan virus yang merebak di luar kilang masuk ke dalam apabila ada pekerja yang positif.

Pekerja tempatan hanya diberi satu pilihan untuk bekerja, iaitu tinggal di hostel kilang atau pun bercuti tanpa dibayar gaji (umpaid) jika gagal mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak kilang terbabit sebelum ini. Namun notis terbaharu semua pekerja terbabit diarahkan bercuti terus tanpa dibayar gaji, seperti dilaporkan sebelum ini.

Apa yang mengecewakan semua pekerja dilarang tinggalkan kawasan kilang dalam tempoh yang lama. Mereka tidak dibenarkan balik untuk bertemu anak isteri atau keluarga masing-masing sehingga ke hari ini. Difahamkan sudah hampir dua bulan pekerja tempatan seolah-olah dikurung dalam kawasan MCKIP.

Mereka hanya boleh bertemu dengan ahli keluarga yang datang ke kilang terbabit menerusi celah-celah pintu pagar. Mereka umpama banduan yang sedang dipenjara akibat kesalahan jenayah. Walhal mereka hanya pekerja industri di kilang berkenaan.

Bagi pekerja yang bujang dan tidak berkeluarga mungkin ia tidak menjadi masalah. Namun bagi yang baru berkahwin, anak kecil, keluarga isteri jauh (perantau) dan bergantung sepenuhnya segala urusan kepada suami, maka inilah yang menjadi masalah. Malah, ada pasangan mereka terpaksa berhenti kerja gara-gara terpaksa menjaga anak sendiri di rumah akibat suami yang tidak dibenarkan pulang hatta dua minggu atau sebulan sekali.

Paling menakutkan, kini virus Covid-19 pula merebak dari dalam kawasan kilang akibat kebanjiran pekerja asing terutamanya dari negara China dan Bangladesh. Biar pun awalnya kes positif di kilang terbabit seolah-olah disembunyikan, namun selepas pendedahan demi pendedahan yang dilakukan akhirnya wujud Kluster Hostel MCKIP Industri ByPass Gebeng.

Itu pun sepatutnya dinamakan Kluster MCKIP, kerana kes positif yang berlaku memanglah di hostel namun pekerja terbabit pergi ke kilang menaiki bas kemudian bekerja dan bercampur gaul di kawasan kilang. Lagi pun hostel kilang itu juga terletak dalam kawasan temboh besar MCKIP itu sendiri sebenarnya. Mungkin ia diubah nama agar kilang terus beroperasi


3.  BENARKAN PEKERJA TEMPATAN ULANG ALIK DARI RUMAH

Asalnya MCKIP mewajibkan pekerja tempatan tinggal di hostel kerana bimbang kes Covid-19 dari luar masuk ke dalam. Namun, kini terbukti kes positif kini merebak dari dalam, akibat pematuhan SOP yang longgar.

Malah, seramai 1,300 pekerja tempatan yang majoritinya Melayu telah dihantar ke pusat-pusat kuarantin di Kuantan, Temerloh, Bentong dan Muadzam Shah. Mereka dikuarantin selama 14 hari dan dijangka tamat pada 20 dan 23 Julai 2021 ini.

Memandangkan kes positif yang melanda kilang terbabit kian meningkat maka itu kami merayu agar pekerja tempatan dibenarkan berulang alik bekerja dari rumah masing-masing di sekitar kawasan Kuantan.

Tambahan pula mereka turut bimbang, gejala akan merebak apabila mereka kembali ke hostel dan bercampur dengan pekerja warga asing yang dilihat gagal mematuhi SOP Covid-19 walau pun kawasan hostel dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pekerja asing bebas bergerak ke sana ke sini dalam kawasan kilang dan hostel tanpa memakai pelitup muka dan scan suhu seperti kebiasaannya.

Jika pekerja tempatan kembali bekerja dan diarahkan tinggal di hostel, maka apa guna mereka dikuarantin selama 14 hari seperti sekarang?.

Dalam kawasan kilang juga ada warga China yang dikuarantin tapi mereka tidak mengikut arahan sebaliknya bebas bergerak dalam kilang. Ini yang membimbangkan.

Justeru, memandangkan kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd masih terus beroperasi seperti biasa, adalah lebih wajar kebenaran ulang alik dari rumah diberikan oleh pihak majikan.  Sekurang-kurangkan mereka tidak bekerja dalam tekanan dan trauma akibat penularan virus Covid-19 yang masih berlaku walau pun cuba disembunyikan dari pengetahuan umum sebelum ini.

Pada 2020, seramai 27 orang pekerja sebuah kilang terbabit pernah membuat laporan polis kerana diarah bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Laporan itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan serta pengesahan adakah mereka akan diberikan jaminan keselamatan sekiranya terus berada dalam persekitaran pekerjaan yang turut mempunyai warga China


4.  FASA 2 PPN: PJJ DIBENARKAN RENTAS DAERAH, NEGERI

Kerajaan sendiri memberi kebenaran merentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh (PJJ) pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya untuk kes kecemasan dan keperluan khas.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada awal Julai lalu. Namun ia bagaimanapun masih tertakluk kepada kebenaran yang perlu dipohon daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kebenaran atas kes kecemasan misalnya isteri hendak melahirkan atau mempunyai anak yang masih bayi jadi perlukan suami untuk hadir bersama kerana anak tidak sihat dan sebagainya, itu kerajaan benarkan.

Namun anehnya kilang MCKIP Gebeng sudah hampir dua bulan tidak membenarkan pekerja tempatan untuk bertemu dengan pasangan dan ahli keluarga mereka.  Ini amatlah zalim kerana ia memisahkan institusi kekeluargaan dan boleh mendera mental dan fizikal pekerja terbabit.

Justeru, pihak kerajaan haruslah mengambil perhatian atas perkara ini dengan memberi nasihat dan teguran agar pihak pengurusan kilang terbabit memahami budaya masyarakat  tempatan, malah memutuskan hubungan keluarga juga salah dari sudut agama Islam itu sendiri.

Jalan terbaik ialah benarkan pekerja tempatan bekerja seperti biasa iaitu berulang alik dari rumah masing-masing, agar mereka boleh kembali menjalani kehidupan bersama keluarga yang sudah lama ditinggalkan.


5.  STATUS PEKERJA CUTI TANPA GAJI MENGELIRUKAN

Akibat tidak mahu tinggal secara paksa di hostel kilang MCKIP, maka ramai pekerja tempatan yang diarahkan cuti tanpa gaji sekarang ini. Namun anehnya, sehingga sekarang mereka masih belum dipanggil untuk menyambung kerja seperti biasa, walau pun sanggup tinggal di hostel.

Nasib mereka umpama “digantung tidak bertali”. Mereka tidak tahu status pekerjaan mereka sama ada sudah diberhentikan atau masih bekerja. Mahu kerja ditempat lain, peluang agak tipis kerana musim Covid-19 ini. Mungkin juga takut tiba-tiba dipanggil bekerja semula. Akhirnya sebahagian besar daripada mereka menunggu dan terus menunggu.

Hampir 1,000 pekerja diberhentikan dengan notis 24 jam antara 21 dan 30 Mei tahun lalu. Ini memaksa mereka membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kuantan. Tindakan berhenti kerja dengan notis pendek tidak menetapi kontrak yang mana sekurang-kurangnya dimaklumkan dalam tempoh sebulan. Malah ada yang diberhentikan tanpa pampasan.


6.   CUTI TAHUNAN DAN KECEMASAN DITOLAK ELAUN

Cuti tahunan adalah hak pekerja seperti termaktub dibawah Akta Kerja 1955. Mereka yang layak mendapat cuti dan sudah bekerja melebihi tempoh yang ditetapkan sepatutnya layak. Namun kilang MCKIP tidak berbuat demikian. Begitu juga cuti kecemasan, elaun minyak dan makan akan ditolak dengan sewenang-wenangnya.

Ini amat mengecewakan sebahagian besar pekerja tempatan. Hak mereka dinafikan dan mereka tiada tempat mengadu. Malahan lebih teruk lagi bagi pekerja yang mengambil cuti tahunan, elaun minyak dan elaun kedatangan mereka akan ditolak ratusan ringgit.


7.   TIDAK BENARKAN PENUBUHAN KESATUAN SEKERJA

Kilang MCKIP menghalang penubuhan kesatuan sekerja bagi menjaga kebajikan pekerja tempatan. Malah mereka yang bangkit bersuara untuk mempertahan dan menganggat hak pekerja akan diambil tindakan, diberi amaran termasuk dipecat. Inilah yang menjadi masalah dan para pekerja tiada tempat untuk mengadu.

Aduan dibuat ke jabatan berkaitan senyap begitu sahaja. Malahan lebih teruk lagi kes mahkamah berakhir dengan tiada pihak menang dan kalah (kedudukan seri). Ia membuktikan MCKIP terlalu kuat dan berkuasa menindas pekerja tempatan di kilang terbabit.


8.  PECAT PEKERJA TEMPATAN BAWA MASUK PEKERJA ASING

Modus operandi kilang MCKIP jelas sekali bertujuan untuk membuang pekerja tempatan sebenarnya. Bermula dengan 3,000 hingga 4,000 pekerja tempatan, kini jumlahnya semakin berkurangan setiap tahun.

MCKIP membawa masuk pekerja asing terutamanya dari negara China dan Bangladesh sebagai ganti. Maka itulah mereka laksanakan peraturan sendiri dan tidak menjaga kebajikan pekerja tempatan. Aduan demi aduan yang dibuat ditutup rapat-rapat agar tiada siapa yang tahu terutamannya pihak kerajaan Malaysia khasnya dan Kerajaan Negeri Pahang amnya.


Yang Amat Berhormat Tan Sri,

Sebenarnya ada banyak lagi isu yang membelenggu pekerja tempatan di kilang MCKIP Gebeng ini. Namun cukuplah sekadar itu dahulu untuk kali ini. Moga dengan ini kerajaan dapat melakukan sesuatu demi mempertahankan hak pekerja tempatan yang tidak dibela hingga ke hari ini. Hak mereka dinafikan.

Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri Pahang sudah mengambil iniseatif untuk menangani isu yang sama sebenarnya. Walau pun ia selesai, namaun ramai pekerja yang memertikaikan janji pampasan yang dibuat. Paling meyedihkan ada yang tidak menerima pampasan hingga ke hari ini dan ada pekerja tetap hanya menerima pampasan sebulan gaji akibat diberhentikan oleh kilang terbabit.

Dengan bantuan kerajaan negeri, kes dilihat selesai seketika. Namun tahun ini ia kembali berulang dan akan terus berlaku kiranya tiada tindakan tegas daripada pihak kerajaan untuk memantau perkara ini.

Mereka gagal untuk memahami adat resam dan budaya negara kita. Mereka menganggap MCKIP adalah wilayah mereka, walhal ia  masih berada dalam negara Malaysia yang berdaulat ini. Mereka perlu menghormati rakyat kita.  Biar pun kerajaan mendapat hasil cukai yang tinggi dengan adanya MCKIP, namun usah dinafikan kebajikan dan hak pekerja tempatan. Apa guna kita mendapat cukai tinggi, tapi sebaliknya rakyat negara kita sendiri didera sedemikian rupa. Kepada siapa lagi mereka hendak mengadu?.


Dapatkan Attachment PDF Surat Terbuka, Sila Klik DI SINI


Semoga Yang Amat Berhormat Tan Sri memahami denyut nadi dan suara rakyat marhaen ini. Bantulah mereka kerana ini negara kita. Sokongan dan perhatian daripada kerajaan amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga. Ingatlah, “Suara Rakyat Suara Keramat”.

Wakil Rakyat Marhaen,

MOHD SHUKRI B MOHD

RAMLI @ JAMALUDDIN

Penyelaras NGO ANGKARA

[ Angkatan Pembela Rakyat ]



Perhatian dan salinan kepada:-


o   DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL

Menteri Besar Pahang

 

o   DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB

Timbalan Perdana Menteri Malaysia

 

o   DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Dan Industri

 

o   DATUK SERI M SARAVANAN

Menteri Sumber Manusia

 

o   DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH

Menteri Komunikasi Dan Multimedia

(Ahli Parlimen Indera Mahkota)

 

o   DATUK SERI RINA HARUN

Menteri Pembangunan Wanita,                

Keluarga Dan Masyarakat

 

o   DATO’ SRI NAJIB TUN RAZAK

Ahli Parlimen Pekan

(Bekas Perdana Menteri Malaysia)

 

o   TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Ahli Parlimen Langkawi

(Bekas Perdana Menteri)

 

o   DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Ahli Parlimen Port Dickson

(Ketua Pembangkang)


o   YB FUZIAH SALLEH

Ahli Parlimen Kuantan

 

o   DATO’ SRI JOHARI HUSSIN

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Pahang

 

o   YB ANDANSURA RABU

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah

 

o   ENCIK PEZAMN CHE HUSSIN

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang