"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Pencerobohan Tanah Musang King Sepatutnya Selesai Awal Jika Semua Pihak Membuat Kerja Dengan Betul, Bukan "Tutup Mata" Selama Ini !

  

KUANTAN - Pencerobohan tanah untuk tanaman durian musang king di kawasan Hutan Simpan Batu Talam, Raub sepatutnya diselesaikan lebih awal dan tidak dibiarkan sehingga kawasan itu sudah mengeluarkan hasil.

Seorang aktivis alam sekitar, Mohd Syukri Mohd Ramli berkata, tindakan yang terlalu perlahan sehingga mengambil masa yang lama menyebabkan pekebun terbabit telah mengaut keuntungan berjuta-juta tanpa memberikan sebarang hasil kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Ujar beliau, sepatutnya tindakan diambil sejak dulu lagi ketika kebun haram terbabit mula diusahakan di kawasan tersebut dan keadaan itu menimbulkan pertanyaan kerana seolah-olah berlaku unsur penyelewengan.

“Adakah pekebun haram itu mendapat ‘kebenaran’ pihak tertentu sebelum ini sehingga mereka berani meneroka kawasan hutan simpan untuk menanam durian bermutu tinggi ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Syukri berkata, beliau memuji keberanian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam isu tersebut kerana jika pencerobohan itu terus dibiarkan, sudah tentu akan merugikan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun selain tindakan memusnahkan kebun haram ini, kerajaan negeri turut digesa agar mencari dan mengambil tindakan terhadap dalang di sebalik kegiatan itu.

“Pekebun haram itu juga perlu didakwa atas tuduhan menceroboh tanah kerajaan sejak sekian lama.

“Kita juga mahu kerajaan negeri menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat sekiranya wujud elemen salah guna kuasa dan rasuah dalam isu tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Syukri menyifatkan tindakan memusnahkan pokok durian yang buahnya sedang menunggu masa untuk dituai tidak kena pada masanya.

“Kenapa tiada kompromi dengan pekebun untuk ambil hasil terlebih dahulu?

“Saya kira, operasi ini lebih baik dilaksanakan selepas hasilnya diambil kerana sayang buah yang banyak itu dimusnahkan begitu sahaja.

“Kalau bukan diserahkan kepada pekebun, buah hasil kebun haram ini diambil dulu dan diagihkan kepada rakyat kerana ramai yang tidak mampu untuk menikmati durian musang king ini,” katanya.

Justeru, Mohd Syukri berkata, adalah satu kerugian apabila buah-buah durian bermutu tinggi yang menunggu masa untuk dituai itu dimusnahkan.