"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Covid-19: "Pekerja Tempatan" Di Kilang ASSB MCKIP Gebeng Gesa Kerajaan Masuk Campur, Izinkan Mereka Balik; Bimbang Keselamatan !

 


KUANTAN - Rata-rata pekerja tempatan yang bekerja di Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) Gebeng dekat sini merayu kerajaan masuk campur masalah yang menimpa mereka sekarang ini.

Difahamkan, kes positif Covid-19 sudah mula menular di kilang terbabit sejak beberapa hari lalu, namun hingga ke hari ini masih belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan.

Dalam masa yang sama, seorang demi seorang pekerja kilang terbabit dibawa keluar sama ada menggunakan bas atau ambulan untuk menerima rawatan lanjut atau pun dikuarantin.

Menurut seorang pekerja, beliau hairan MCKIP seolah-olah terlalu kebal, biar pun banyak pelanggaran SOP telah berlaku, namun tiada pihak yang memantau dan mengambil tindakan.

"Banyak kali kami buat aduan, namun pihak  berkuasa seolah-olah tiada kuasa untuk berbuat sesuatu," katanya.

"Kini nasib kami bagaikan telur dihujung tanduk. Kami dipaksa bekerja dikalangan mereka yang bergejala, positif Covid-19. Ini menakutkan kami, dan ramai menganggap tidak adil memperjudikan nyawa kami, sedangkan kilang sepatutnya ditutup sementara untuk dibuat sanitasi dan swab test menyeluruh kepada semua pekerja," tambah beliau lagi.

Sementara itu, seorang lagi pekerja anak tempatan dari Balok berkata beliau sudah tidak tahan lagi berada di hostel terlalu lama di tambah lagi dengan kes Covid-19 yang semakin merebak di kilang terbabit.

Tambahan pula mereka yang memakai gelang pink dibiarkan bebas bergerak ke sana sini, hatta ke pasaraya dalam kawasan kilang terbabit. 

"Sudah hampir dua bulan kami dikurung di sini. Dipaksa tinggal di hostel, jika mahu bekerja. Jika tidak, diarahkan bercuti tanpa gaji (unpaid). Malah, jika ada emergency kes seperti kematian, perkahwinan dan sebagainya pun kami terpaksa berhadapan dengan pemotongan gaji sekiranya keluar dari kilang.

"Kami dilayan umpama pendatang asing, sedangkan pendatang asing dilayan seperti rakyat tempatan. Kami mahu balik dan datang kerja dari rumah. Kami ada anak bini dan keluarga yang memerlukan perhatian. Namun, kami ditahan tidak dibenarkan balik. Dikerah bekerja walau pun ada kes Covid-19 yang berlaku, Malah kami terpaksa berasak-asak naik bas pergi dan balik yang boleh membuka ruang dijangki virus itu" dakwanya.

Kerajaan negeri dan pusat digesa ambil perhatian terhadap kebajikan pekerja tempatan di kilang MCKIP ini. Sudah terlalu banyak isu yang kita dengar namun hingga ke hari ini tidak ada tindakan oleh pihak berkuasa. Kilang ini beroperasi guna undang-undang sendiri yang tidak tertakluk dengan peraturan pekerjaan Kerajaan Malaysia.

"Bayangkan, ada kes kemalangan dan kecederaan pun mereka sembunyikan. Tiada laporan dibuat, ini menyebabkan mangsa tidak mendapat pembelaan dan pampasan daripada Perkeso.

"Pada masa ini ada kes Covid-19, juga cuba untuk disembunyikan. Namun dengan kuasa viral, isu ini terbongkar bila didedahkan oleh aktivis Angkatan Pembela Rakyat (Angkara).

"Buat swab test menyeluruh melalui KKM dan bagi yang tidak bergejala, benarkan mereka berulang alik dari rumah andainya kilang tidak ditutup operasi sekali pun. Membiarkan mereka di hostel, menjadi mimpi ngeri kepada anak, isteri, ibubapa dan ahli keluarga mereka di rumah. Semua gusar, takut jika ahli keluarga dijangkiti viris Covid-19 hingga boleh membawa maut. Sudahlah hampir dua bulan dipisahkan," kata seorang pekerja dari Tamaj PSJ dekat sini. Sumber: PahangDaily