"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Kontroversi Isu 'Balak Luar Biasa', Salah Faham Jadi Punca Perbalahan DS Shahaniza Dan Khaidir Ahmad !

 

Saya terpanggil untuk membicarakan isu panas 'kayu balak bersaiz luar biasa' yang sedang panas akibat pendedahan Khaidir Ahmad, yang tular dimedia sosial baru-baru ini.  

Saya tidak sangka isu tersebut menjadi semakin besar apabila Khaidir membuat laporan polis terhadap Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin semalam. 

Khaidir mendakwa exco terbabit telah menfitnah beliau, sedangkan exco itu pula mendakwa Khaidir keluarkan kenyataan fitnah berkaitan isu tersebut. 

Saya malas nak ulas perbalahan antara kedua pihak itu tadi. Namun, bagi saya sebagai exco DS Shahaniza ada hak untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Pahang, kerana gara-gara posting Khaidir itu rata-raya netizen menyangka ia melibatkan penguatkuasaan hutan di Pahang. 

Maka, ramai netizen yang menghentam Kerajaan Negeri Pahang termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Pahang itu sendiri. 

Mungkin netizen ingat, balak luar biasa itu dibawa keluar pada musim PKP Covid-19 dari hutan di negeri ini. Walhal balak itu dibawa dari Terengganu ke Selangor dan hanya singgah di Pahang seketika sahaja. 

Sebagai rakyat  marhaen terutamanya yang cakna isu rakyat, sememangnya akan ambil tahu apa yang berlaku. Benar, ada yang kata boleh terus bertanya kepada pemandu yang berkenaan jika inginkan kepastian.

Namun, diketika musim PKP ini tidak mungkin ia boleh berlaku. Tambahan pula bagi kita yang tidak ada kuasa melakukannya. Mana boleh kita sewenangnya minta mahu melihat  dokumen perjalanan membawa kayu balak itu.

Lainlah kita adalah penguatkuasa JPJ, pegawai polis atau lebih afdal lagi penguatkuasa hutan. Sekadar rakyat biasa, kita yang tertanya-tanya memang akan ambil gambar dan tularkan di  media sosial.  Bukankah ini zaman viral?, apa yang nak dihairankan?.

Jadi tidak salah Khaidir sekadar bertanya, sebab dia nak tahu apa kisahnya balak bersaiz luar biasa itu boleh dibawa keluar dari hutan?. Sudah pasti balak itu sepatutnya dipelihara kerana ia adalah khazanah alam untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Tidak kira hutan mata, ia ternyata menimbulkan seribu tanda tanya. Siapa yang benarkan? pihak mana yang luluskan lesen? dan berbagai-bagai lagi soalan bermain difikiran rakyat.

Mungkin Khaidir ingat, balak itu dari hutan di Pahang atau mana-mana lokasi yang berdekatan maka dia sangka Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada hari Ahad. Ketika itu mana kita tahu balak itu dari Terengganu, dan di sana Ahad adalah hari bekerja.

DS Shahaniza pula berhak menegur Khaidir kerana kenyataan beliau itu mengundang provokasi dan kontroversi sebenarnya. Apa tidaknya, rata-rata komen yang dibuat oleh netizen lebih menjurus kepada kecaman terhadap Kerajaan Negeri Pahang itu sendiri.

Maka, DS Shahaniza selaku exco, menuduh Khaidir membuat fitnah terhadap isu ini. Walhal isunya benar iaitu Khaidir melihat ada lori treler membawa kayu balak bersaiz luar biasa berehenti di RNR Temerloh Arah Barat, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada hari kejadian.

Tuduhan itu mungkin agak pedas, tambahan pula saya melihat begitu ramai penyokong DS Shahaniza mula mengecam tindakan Khaidir. Tidak kurang juga yang menyokong tindakan beliau kerana cakna isu rakyat.

Begitu juga dalam posting yang dibuat oleh Khaidir, ramai yang menghentam beliau dan tidak kurang juga yang menyokong tindakannya itu. 

Sesuatu yang normal, ada pihak yang menyokong dan mengutuk kita di media sosial sebenarnya. Mana boleh kita hanya melayan sokongan tapi tidak mahu berhadapan dengan kutukan dan kecaman. Jika takut, lebih baik tutup media sosial kita.

Saya dah lalui sebelum ini, sebelum Khaidir jadi aktivis alam sekitar (bertugas dengan TV3) lagi saya sudah menerima kutukan dan kecaman atas apa sahaja isu rakyat yang diperjuangkan. Sebab apa? kerana ia melibatkan pihak yang berkepentingan. 

Siapa tak marah apabila, projek mereka ditegur oleh pihak lain. Walau pun projek itu melanggar syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan itu sendiri sebenarnya.

Namun, jika tiada pihak yang menegur sudah pastilah rakyat marhaen akan menjadi mangsa akhirnya. Sebab itu orang-orang seperti kami perlu ada. Sebab adakalanya yang melakukan perbuatan itu adalah orang politik yang ada kuasa dan kepentingan.

Mana mungkin penguatkuasa atau penyokong mereka berani nak menegur?. Jika tegur pasti akan diambil tindakan?. Contohnya isu pengondolan hutan dalam kawasan bandar dekat Bukit Sekilau di Kuantan. 

Hingga ke hari ini saya melihat tidak ada mana-mana pihak terutamanya penyokong kerajaan yang minta siasatan dilakukan bagaimana tanah bukit hak kerajaan yang luas itu boleh dibeli oleh pihak luar. Malah difahamkan harga jualan pula jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Kenapa tanah bukit dijual dan dijadikan kawasan penempatan hingga mencacatkan alam sekitar bandaraya Kuantan?. 

Sampai ke hari ini tiada seorang pun pemimpin atau exco kerajaan negeri yang berbunyi, atau pun orang parti kerajaan yang berani bersuara. Walhal mereka tahu siapakah yang terlibat dibelakang tabir kelulusan tanah tersebut. 

Pejabat Hutan Daerah Kuantan ada ditepi bukit yang ditarah, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana tanah itu bukan hak kerajaan dan sudah menjadi hak milik individu.

Persoalannya, bagaimana tanah kerajaan boleh terlepas menjadi milik individu?. Pernahkah ada yang bersuara dan minta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan?.

Sebabnya, jika bangkitkan isu ini yang akan rosak ialah nama Kerajaan Negeri Pahang. Justeru lebih baik masing-masing mendiamkan diri biar pun tahu apa yang berlaku dan siapa yang terlibat sebenarnya. 

Sebab itulah, rakyat bising dalam isu yang dibangkitkan oleh Khaidir Ahmad sebenarnya. Rakyat tidak percaya dan yakin dengan kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan, apatah lagi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. 

Malah, ramai netizen yang saya lihat membangkitkan isu pejabat hutan cepat bertindak mengejar lori treler yang membawa balak luar biasa itu walau pun sudah masuk ke Selangor. Difahamkan, lori terbabit ditahan di RNR Gombak Arah Barat, beberapa kilometer menghampiri Plaza Tol Gombak.

Tindakan terbaik, sampai melepasi sempadan kata netizen, namun dalam isu beribu ekar hutan simpan di Raub yang diceroboh kemudian ditanam durian 'Musang King' kenapa hingga hari ini tidak ada seorang pun penceroboh yang ditangkap atau didakwa kerana kesalahan dibawah akta perhutanan?.

Walhal, sebelum ditanam durian 'Musang King' tanah-tanah tersebut adalah hutan simpan yang terletak berhampiran jalanraya utama dan nampak jelas jika mahu ambil tindakan. Inilah yang menjadi persoalan sebenarnya. 

Justeru, tidak perlulah berbalah dalam isu lori treler yang membawa balak luar biasa dari Terengganu itu. Saya menggesa Khaidir menarik  balik 'laporan polis' yang dibuat demi keharmonian semua pihak. Banyak kerja lain lagi yang boleh dibuat oleh pihak polis sebenarnya.

Bermaaf-maafanlah di bulan Syawal yang mulia ini. Usahlah terlalu emosi dalam isu yang banyak 'kelompongan' seperti ini. Apa akan jadi jika DS Shahaniza pula membuat laporan polis dan menfailkan tindakan saman? Akhirnya apa kesudahan isu ini? Walhal ia hanya berlaku di media sosial dan salah faham itulah yang menjadi punca.

Khaidir salah faham tidak siasat dulu sebelum membuat posting dan menyangka ia adalah kayu balak dari hutan di Pahang  (berdasarkan ayat hari Ahad cuti, Terengganu kerja). DS Shahaniza pula salah faham sebab ingatkan Khaidir terus menuduh dan mengaitkan isu tersebut untuk memburukkan Kerajaan Negeri Pahang. Usahlah bertelagah diketika umat Islam sepatutnya bermaaf-maafan dihari lebaran. Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.