"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Kerajaan Negeri Di Gesa Siasat Pemilikan Hartanah Kakitangan Dan Pesara Jabatan Berkaitan "Tanah" !

Kerajaan Pahang diminta menyiasat pemilikan hartanah kakitangan kerajaan terutamanya mereka yang berkhidmat dengan jabatan-jabatan yang berurusan berkaitan dengan tanah di seluruh negeri ini.

Ia berikutan terdapat banyak aduan daripada orang ramai yang mendakwa ada segelintir kakitangan terbabit memiliki berekar-ekar tanah walau pun hanya berjawatan rendah.

Terdapat juga kakitangan yang sudah bersara dan mula hidup mewah dengan menjual satu persatu hartanah yang mereka miliki yang dipohon ketika mereka masih berkhidmat lagi.

Ada dakwaan kakitangan terbabit juga tidak segan silu bercerita kepada saudara mara tentang kekayaan mereka, hasil dari kegiatan licik yang disokong oleh pegawai atasan jabatan terbabit selama ini.

Tidak hairan ada dakwaan mereka yang berjawatan rendah pun memiliki begitu banyak tanah.

Mereka tahu pasal tanah, mereka tahu undang-undang dan selok belok permohonan tanah, maka mereka guna kesempatan ketika bertugas untuk mengumpul seberapa banyak tanah. Terkadang ada saja tanah tersepit, pasti mereka akan mohon menggunakan nama proksi masing-masing. Kegiatan ini suda lama berlaku di negeri ini sebenarnya

Ramai yang sedar senario ini, tapi mereka tidak tahu kepada siapa untuk mengadu hal ini. Justeru mereka menyalurkan maklumat kepada pihak kami untuk didedahkan. Kakitangan yang terlibat terkadang hidup mewah dalam diam dengan menjual satu persatu tanah yang mereka miliki. Perbuatan ini memang licik dan gagal dihidu oleh pihak kerajaan sebenarnya.

Rakyat Pahang IC 06 terkadang mohon tanah sekangkang kera, sampai mati tak dapat. Temuduga tanah berkali-kali tak dapat, walhal mereka sudah meneroka tanah itu sejak sekian lama, 30-40 tahun yang lalu. Fail mereka tidak diproses atas alasan kawasan itu akan diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Namun, sedihnya tiba-tiba tanah menjadi milik pihak lain seperti pemaju perumahan, perladangan dan pertanian.  Mereka yang mendiami tanah dihalau begitu sahaja tanpa ada wang pampasan yang setimpal. Pelan tanah yang dipohon, dilapiskan dan diberi kepada pihak pemaju dengan bayaran tertentu. Inilah senario yang berlaku sejak dulu lagi.

Saya berharap pihak kerajaan dapat menyiasat perkara ini agar sindiket 'faraid tanah' sesama sendiri di jabatan yang berkenaan di ambil perhatian. Mereka boleh lepas ketika pengisytiharan harta sebab gunakan nama-nama 'proksi' untuk kaburi mata pihak berkuasa.

Utamakan rakyat selaku orang awam, kamu bekerja makan gaji.. kenapa perlu mengambil hak rakyat?. Sekarang ini mahu mohon tanah dan nak cepat dapat kelulusan juga kena ada wang pelincir baru proses akan disegerakan. Sebab itu orang kampung anak bangsa kita mohon tanah tak dapat, tiba-tiba ada bangsa lain pula yang lulus atas tanah yang sama. Sampai bila semua ini harus dibiarkan berlaku? Sampai kiamat?. Mungkin isu yang sama juga terjadi di seluruh negara.

Saya juga amat berharap orang awam yang ada maklumat tentang perkara ini boleh salurkan kepada beliau untuk didedahkan bagi menyelamatkan pengkhianat di jabatan kerajaan ini dari berterusan bergelumang dengan rasuah yang sudah menjadi darah daging mereka selama ini. Orang ramai boleh like, follow n share facebook beliau di https://www.facebook.com/cmkshukrieramly/ untuk salurkan maklumat berkaitan.

Saya sendiri beberapa kali mohon tanah, sebagai anak jati Pahang.. tak pernah dapat dan dilayan oleh mereka. Tapi orang luar yang baru setahun dua mendiami bumi Tok Gajah ini, mereka layan dan mendapat kelulusan sebab adanya unsur-unsur khianat itu tadi. Sebab itu jangan hairan, anak Pahang akhirnya merempat di bumi sendiri, gara-gara perbuatan orang dalam yang mengejar keuntungan semata-mata.

Saya merayu Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil perhatian akan perkara ini. Sudah tiba masanya MB baru mengubah apa yang berlaku sekian lama di dalam jabatan-jabatan kerajaan, bukan lagi hanya mendengar kenyataan ketua jabatan yang akan menceritakan kebaikan semata-mata, tanpa mendedahkan apa yang berlaku di belakang tabir itu sebenarnya. 

Perkara seperti inilah yang menghilangkan kepercayaan rakyat kepada jabatan kerajaan dan akhirnya mereka menolak kerajaan itu sendiri setiap kali adanya pilihanraya. Sebab itulah kerajaan perlu mengambil perhatian serius untuk membenteras gejala ini agar ia tidak terus berakar umbi untuk selama-lamanya.  

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI