"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Jawapan NGO, Kepada Kenyataan PAIP Maran Terhadap Isu Terjah Air Jengka 7


Susulan kenyataan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pada 17 Mac 2018 tentang isu air yang melanda Felda Jengka 7 terutamanya Masjid Al-Falah. Isu ini telah didedahkan oleh kami pada 16 Mac 2018 dan sehingga jam 11.00 malam, 19 Mac 2018 video terjah yang di sebarkan telah mendapat 349,826 tontonan. 

Ini menunjukkan isu ini mendapat perhatian, mungkin kerana ia bertembung dengan ambang pilihanraya umum dan juga isu air yang sering dipapar oleh TV3 terhadap dua negeri pembangkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang mutakhir ini. 

Justeru, kami terpanggil untuk menjawab kenyataan yang dibuat oleh pihak PAIP Maran terhadap isu ini satu persatu. Ia bagi tidak menimbulkan kekeliruan dan membuka minda orang ramai untuk melihat apa isu sebenarnya dalam kes ini, 


"Saya ingin respon kepada isu bekalan air di Masjid Felda Jengka 7 seperti yang telah diviralkan oleh Mohd Shukri Mohd Ramli atau CMK semalam. Adalah amat dikesalkan kerana berita yang disebarkan di laman sosial adalah tidak tepat berdasarkan situasi dan tidak merujuk kepada pihak yang berkenaan. Dalam masa yang sama pula isu yang tidak benar ini telah di kongsi oleh ramai netizen yang tidak memeriksa kesahihan berita yang mereka kongsikan sama di laman sosial" - PAIP Maran.
Untuk makluman PAIP Maran, berita yang disebarkan adalah diperolehi daripada jemaah Masjid Al-Falah, Felda Jengka 7 sendiri sebenarnya. Mereka mendakwa sudah banyak kali aduan dibuat kepada pihak PAIP Maran. Namun, jawapannya tetap sama.. tiada tindakan yang diambil malahan aduan demi aduan yang dibuat tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak PAIP Maran. 

Mungkin sibuk atau merasakan ia tidak terlalu penting untuk diambil tindakan segera, Walhal, masjid itu digunakan untuk solat Jumaat dan setiap kali itu juga air senantiasa tiada. Bermakna, kami merujuk kepada pihak yang berkaitan untuk memanjangkan isu ini dalam edisi terjah. Selepas diterjah barulah PAIP Maran tergesa-gesa datang untuk buat siasatan dan ambil tindakan. Kenapa selama ini diam membisu, hingga pengadu merasa kecewa dan terkilan akibat isu tidak dilayan dengan baik oleh PAIP Maran. 
"Pihak PAIP Maran telah melakukan pemerikasaan hari ini di Felda Jengka 7 dan dapatan adalah seperti berikut. 1. Utk bekalan air di Masjid Jengka 7, setelah dilakukan pemeriksaan pressure mencukupi = 2.0 bar (normal) ss ." - PAIP Maran.
Persoalannya, jika pressure mencukup kenapa isu ini tidak selesai sejak sekian lama?, Pressure mencukup kerana PAIP Maran datang ke Jengka 7, dan sudah semestinya siap sedia buat tindakan (menaikkan pressure bagi menunjukkan tidak ada masalah). Mudah benarlah jika begitu keadaannya, peneroka diperdayakan hidup-hidup konon pressure mencukupi walhal selama ini pressure tidak mencukupi.
"2. Masalah yg berlaku skrg di sebabkan saiz paip yang digunakan tidak praktikal (1 inci) & byk tee direct paip selepas meter. Masalah akan timbul jika jemaah guna air serentak (waktu puncak) spt Solat Jumaat dimana apabila semua tap dibuka serentak akan menyebabkan berlaku low pressure." - PAIP Maran.
Jika saiz paip yang digunakan tidak praktikal (1 inci) kenapa selama ini tidak diperbetulkan?. Banyak kali aduan sudah dibuat, kenapa tidak datang menyiasat dan ambil tindakan agar perkara ini tidak berlaku sejak sekian lama. Kenapa biarkan ia berlaku bertahun-tahun lamanya hingga mengganggu para jemaah untuk bersolat Jumaat. Apakah dengan membiarkan begitu sahaja maka isu akan selesai?. Kenapa tidak ambil tindakan segera terhadap aduan yang dibuat oleh penduduk?.  Kenapa bila dah diterjah, barulah nak ambil tindakan menyiasat isu ini?. 
"3. Sepatutnya Masjid Jengka 7, menggunakan paip 4 inci berbanding 1 inci yang digunakan selepas meter. Terdapat banyak tee selepas meter dan jumlah kepala paip untuk mengambil wuduk dan singki dan adalah tidak praktikal menggunakan paip selepas meter hanya 1 inci" - PAIP Maran

Persoalannya, kenapa penyambungan ini diluluskan dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak PAIP Maran. Bukankah ini kawasan masjid dan sepatutnya setiap kontraktor perlu  merujuk kerja-kerja berkaitan kepada pihak PAIP Maran agar ia tidak menyusahkan jemaah pada masa hadapan. Di manakah pemantauan yang dilakukan?.
"4. Pressure standmeter sebelum meter di Masjid Jengka 7, adalah tinggi iaitu 2.0 bar adalah tinggi dan presure yang diambil pada hidrant depan masjid juga pada bacaan adalah 1.2 melepasi syarat di tetapkan SPAN 1.0 bar. Semua bacaan direkodkan hari ini oleh PAIP Maran" - PAIP Maran.
PAIP Maran datang dalam keadaan sudah bersiap sedia menaikan pressure dari loji berdekatan, sebab itu pressure standmeter sebelum masjid naik tinggi. Tapi bagaimana pada hari-hari biasa?. PAIP Maran sudah bersedia sebelum datang, memanglah anda boleh katakan tekanan air amat kuat di kawasan ini. Tapi apa yang berlaku pada hari-hari sebelumnya?. Pernah anda menyiasat?. Jika pressure kuat kenapa penduduk sering melaporkan masalah air berlaku tatkala mahu mengadakan majlis kenduri kendara, selain daripada masalah yang melanda kawasan masjid ini sebenarnya.
"5. Bagi kawasan tinggi di Jengka 7, bacaan tekanan yang diambil hari ini ialah 1.4 bar adalah normal". - PAIP Maran
Bacaan tekanan normal 1.4 bar kerana PAIP Maran datang. Bagaimana pada hari-hari sebelumnya dan hari yang akan datang?. Adakah bacaannya juga sama?. Mudah benar mengatakan tekanan sudah normal kerana PAIP Maran datang untuk buat tindakan. Jika normal kenapa banyak aduan yang terus diterima dari kalangan penduduk pada hari-hari lain (bukan hari PAIP Maran datang)?. 
"6. Kawasan perkampungan Felda Jengka7 telah ditukar paip oleh FELDA & siap sepenuhnya pd 2016. Termasuk bina tangki baru berkapasiti 150,000 gelen. Cuma gangguan bek air akan berlaku jika ada kerja kerja pembaikan. Notis gangguan berjadual @ tidak berjadual di Loji Air Jengka 3-7 akan diberikan." - PAIP Maran.
Persoalan yang timbul, jika semua kawasan kampung sudah ditukar paip oleh Felda dan siap sepenuhnya. Malah sudah dibina tangki baru yang berkapasiti 150,000 gelen maka sepatutnya isu air sudah tidak berlaku pada tahun 2017 dan 2018 ini. 



Masalahnya kenapa ia terus berlaku?. Malah kenapa air yang disalurkan ke kawasan ini masih lagi dari Loji Air Jengka 3-7?. Kenapa tidak dari tangki air yang sudah tersergam indah dengan kos jutaan ringgit itu?. Mana janji, bila tangki siap di bina maka masalah air akan selesai?. 
"Berdasarkan tulisan CMK, banyak menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan yang pastinya mempunyai motif motif tertentu. Pihak PAIP Maran sentiasa mengambil perhatian kepada sebarang laporan dari pengguna dan tidak menerima sebarang laporan berkaitan masalah bekalan air dari penduduk Jengka 7, apatah lagi ada beberapa orang kakitangan PAIP Maran merupakan penduduk dan mempunyai keluarga di Jengka 7. Adalah mustahil mereka tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan jika mengalami masalah bekalan air." - PAIP Maran.
Jika senantiasa ambil perhatian, kenapa jemaah masjid masih merungut mengatakan PAIP Maran tidak ambil tindakan segera terhadap aduan mereka. Jika ambil tindakan, maka  kenapa masih ada saiz paip yang tidak praktikal di kawasan masjid ini?. Kenapa tidak ditukar dengan saiz yang baru?. Ada kakitangan yang merupakan penduduk di Jengka 7 tidak semestinya mereka cakna isu rakyat kawasan ini. 

Ada kakitangan yang hanya pergi kerja dan jalankan tugas masing-masing sahaja. Malah ada yang mahu jaga nama kononnya tempat sendiri tiada masalah yang berlaku, walhal sebaliknya. Jika PAIP Maran ambil perhatian maka isu ini sudah pasti tidak timbul dan tiada aduan dari kalangan pegawai masjid sendiri. Maknanya isu ini gagal ditangani dengan baik oleh PAIP Maran. Jangan hanya seronok keluarkan kenyataan bertulis semata-mata, tapi hakikatnya penduduk di sini lebih mengetahui hakikat yang berlaku sejak sekian lama.
"Pilihanraya makin hampir, tentunya ada pihak yang tidak beryanggungjawab akan mengambil kesempatan menyebarkan perkara yang tidak benar demi kepentingan politik. Pengguna laman sosial juga perlu berhati hati berkongsi sebarang berita tidak benar kerana penyebaran berita palsu boleh di dakwa dibawah Akta Komunikasi, jadi berhati hati. Sila klik dengan bijak. Sila Share jika ada pecinta kebenaran" - PAIP Maran
Mudah benar menuding jari kononnya isu ini diterjah kerana kepentingan politik menjelang piliharaya. Untuk makluman, aduan yang diterima terhadap isu ini bukan dari penyokong parti pembangkang tetapi dari kalangan penyokong UMNO BN sendiri sebenarnya. Malah,  kami juga bukanlah entiti kepartian, kami adalah NGO yang membela rakyat tanpa membezakan fahaman politik kepartian masing-masing. Jangan menidakkan hakikat yang berlaku dengan mengatakan ianya bermotifkan politik. Sedangkan masalah air yang melanda masih gagak diatasi secara profesional.



Justeru, kami menggesa pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaksanakan tanggungjawab untuk mengatasi masalah air yang melanda Felda Jengka 7 sejak sekian lama. Kita tidak mahu ada lagi kejadian seperti ini pada masa akan datang. Malah kami juga tidak mahu anak-anak kampung di perantauan pulang ke kampung halaman dengan kesedihan dan tangisan air mata setiap kali musim cuti dan hari perayaan. 



Sudah lebih 50 tahun merdeka, kenapa isu air ini masih tidak selesai sepenuhnya?. Kenapa sering berlaku masalah yang menyebabkan anak-anak diperantauan trauma untuk pulang ke kampung halaman?. Buatlah tindakan, jangan melenting dan cuba menjawab untuk menutup kebenaran, walhal hakikatnya isu tidak pernah dapat diselesaikan dengan baik. Kami juga merujuk komen-komen daripada anak-anak kampung sendiri terhadap isu ini. 




Kami juga mahu PAIP Maran, buat kenyataan tentang status terkini tangki air di Felda Jengka 7. Apakah ia sudah berfungsi, atau pun tidak?. Banyak aduan mengatakan air yang disalurkan ke kawasan ini masih lagi dari loji air Jengka 3-7. Ini bermakna tangki air masih gagal berfungsi sepenuhnya. 



Jika sudah berfungsi, kenapa masih berlaku tekanan rendah di sana sini hingga menyusahkan penduduk setempat yang mahu mengadakan majlis kenduri kendara?. Jika tiada masalah air, kenapa tempahan homestay dibatalkan gara-gara masalah air tiada di kawasan kampung terbabit?. Inilah yang memusykilkan.



Apa pun, kami ucapkan terima kasih kepada PAIP Maran yang sanggup turun padang memantau situasi ini. Kami sedia berkerjasama untuk mengatasi masalah ini bagi keselesaan penduduk setempat. Kami juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang cakna isu ini terutamanya Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato Sri Hajjah Shahaniza Shamsuddin yang begitu prihatin dan memberi pehatian terbaik terhadap isu yang didedahkan. Rakyat didahulukan, Cakna Demi Rakyat.

Yang Menjalankan Tugas;

MOHD SHUKRI B MOHD 
RAMLI @ JAMALUDDIN
159-C, Felda Kenangan Jengka 7
Bandar Tun Razak Jengka

BLOGGER CUCUMATKILAU
www.cucumatkilau.blogspot.my

Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
(  A N G K A R A  )
www.angkaraterjah.blogspot.my