"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Apa Kerajaan Negeri Buat, Sampai 48 Tahun Cukai Hasil, Sewa Dan Royalti Mineral Tertunggak Itu Gagal Di Kutip?


KUANTAN: Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk menguatkuasakan serta merta undang-undang bagi mengutip tunggakan hasil seperti cukai tanah serta taksiran, sewa perumahan kos rendah dan royalti mineral berjumlah RM151 juta yang tertunggak sejak 48 tahun lalu.

Penyelaras NGO terbabit, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) bagaimana pun hairan kenapa baru sekarang perkara ini mahu dikuatkuasakan. Katanya, bukankah selama ini Pahang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang efisyen dan terbaik.

"Pahang tidak pernah dikuasai pembangkang, hingga ke PRU14. Makanya saya hairan kenapa begitu banyak cukai dan royalti minyak tertunggak sejak 48 tahun lalu?. Apa yang dibuat oleh pemimpin negeri terdahulu?.", kata Shukri.

Beliau ucapkan tahniah kepada Menteri Besar Pahang yang baru, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berjaya mengubah situasi ini. Jika pentadbiran kerajaan negeri tidak berubah, maka saya rasa mungkin senario ini juga tidak mungkin berubah.

"Selama ini memang rakyat dengar banyak syarikat perlombongan yang tidak membayar premium atas hasil mineral yang mereka keluarkan. Tambahan pula yang ada hubungan rapat dengan pemimpin politik tertentu. Ia jelas, dan banyak kali telah dibangkitkan. Namun kenapa Kerajaan Negeri Pahang tidak mengambil tindakan, hingga menyebabkan negeri ini terjerat dalam kancah hutang tertinggi dengan kerajaan pusat?.", kata Shukri.

Menurut beliau lagi, dia juga mendapat banyak maklumat berkenaan pembabitan orang politik dan pegawau tinggi kerajaan yang menjadi dalang disebalik kegagalan ini.

"Ada pihak yang tidak sepatutnya dapat rumah murah, dapat.. bukan satu malah lebih lagi. Mereka ini menyewakan rumah-rumah terbabit kepada orang lain. Sedangkan mereka sudah ada rumah sendiri. Rakyat yang sepatutnya dapat kemudahan itu dinafikan hak. Mereka yang terbabit pula punyai hubungan dengan orang politik dan sengaja tidak mahu membayar sewa termasuk cukai yang berkaitan. Inilah senario yang berlaku sejak zaman berzaman di bumi Pahang sebenarnya", tambah beliau lagi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail atas perkara ini. Namun katanya, ia mungkin sudah terlambat kerana Pahang kini menjadi negeri pembangkang di Malaysia.

"Kenapa baru sekarang  Setiausaha Kerajaan Negeri mahu bertindak?. Apakah selama ini beliau tidak sedar apa yang berlaku?. Kenapa di zaman pemimpin terdahulu perkara ini tidak dibangkitkan?. Kenapa tidak melakukan perubahan dari awal?. Kenapa hanya menunggu dan melihat siapa pemimpin berwibawa baru mahu bertindak?. Bukankah isu ini sudah 48 tahun berlalu", kata Shukri lagi.



Apapun, beliau berharap Kerajaan Negeri Pahang yang baharu dapat melakukan perubahan besar ke arah meningkatkan kepercayaan rakyat. Jika terlambat, sudah pasti Pahang juga akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan pada PRU15 nanti.

"Masa untuk tutup mata, pekak telinga dan membisu sudah berlalu. Ini masa untuk kalian semua buat kerja. Sudah-sudahlah dengan apa yang berlaku selama ini. Saya juga menyeru kerajaan negeri bertindak terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang mempunyai aset luar biasa dari kemampuan mereka. Begitu juga dalan isu penjualan tanah-tanah tanpa geran yang begitu berleluasa di Pahang sejak sekian lama. Kerja-kerja licik inilah menyebabkan kantung kerajaan negeri tiris dan kebocoran. Hasil banyak tapi duit tak masuk akibat ada mereka yang khianat kepada tanggungjawab", katanya.

Malah katanya, banyak juga kes di mana cukai hasil mineral yang tidak dibayar ikut caj sepatutnya apabila rayuan dibuat menggunakan pengaruh orang-orang tertentu. "Bayangkan jika cukai sepatutnya RM18 juta, tapi bila dirayu hanya dibayar RM4 juta sahaja.. Sepatutnya jika dirayu, RM18 juta kurang-kurang jadi RM15 juta. Itu baru berbaloi untuk meningkatkan hasil. Ini menunjukkan selebihnya mungkin mengalir ke tempat lain. Ini sebagai contoh sahaja yang saya mahu ia diambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri yang baru. Biarlah peraturan yang ada benar-benar telus dan adil untuk semua pihak dan dapat meningkatkan hasil negeri. Jangan biarkan kantung-kantung pihak tertentu masuk banyak tapi hasil kerajaan negeri merudum", tambah beliau.

Shukri turut menegaskan, beliau sedia berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk memulihkan semula situasi yang berlaku. Tiba masa katanya, perubahan itu perlu benar-benar dilakukan dengan tindakan, bukan sekadar bercakap untuk menyedapkan halwa telinga semata-mata.

Jika tidak, saya yakin akhirnya ia akan berbalik kepada yang asal. Zaman bermewah-mewah, bolot projek, bolot tanah dan mengambil hasil mahsul negeri sesuka hati perlu dihentikan. Jika ia terus berlaku maka, pasti rakyat akan buat perubahan pada pilihan raya umum akan datang, kata Shukri lagi. #sumber